RUMAH LELONG LPPSA 2022 : CARA BELI & PENGALAMAN
Rumah lelong merupakan rumah yang dijual oleh pihak bank ataupun pihak individu secara lelongan oleh pihak lelongan yang mempunyai lesen. Sebagai contoh, rumah lelong bank dan juga rumah lelong LPPSA.
Oleh kerana rumah seperti ini dijual pada harga murah, kebanyakan pembeli rumah di Malaysia mempunyai persepsi bahawa hartanah lelong ini kurang nilainya berbanding rumah yang baru dilancarkan atau hartanah sekunder. Ramai menganggap sesuatu yang buruk telah berlaku di rumah tersebut atau rumah tersebut dibelenggu kerosakan struktur.
Sebenarnya, inilah masa paling sesuai untuk membeli rumah di pasaran lelong kerana jumlah pembeli rumah baru (new launch) yang tidak mampu membayar ansuran bulanan mereka semakin meningkat dalam 1-2 tahun ini. Tambahan lagi degan wabak Covid-19, memang lebih banyak pembeli rumah baru yang berdepan masalah kewangan. Ini membuktikan lagi bahawa masih ada lagi tawaran lelong hebat yang belum diketahui.
Sebelum membuat sebarang pembelian, lakukan perbandingan kelebihan dan kekurangan pembelian rumah di pasaran lelong:
KELEBIHAN RUMAH LELONG
- Harga lebih rendah dari pasaran subsale.
- Boleh membeli rumah yang sebelum ini mempunyai sekatan, contoh rumah kos rendah.
- Apabila dilelong, ia tidak akan mempunyai sebarang sekatan.
- Pilihan pelbagai lokasi yang menarik.
- Pulangan sewa yang lebih tinggi berbanding rumah subsale.
- Pelbagai pilihan harga (boleh memilih harga yang sesuai dengan bajet).
KEKURANGAN RUMAH LELONG
- Kalah lelongan (unit called off) – pemilik membayar tunggakan dan bank membatalkan lelongan (boleh berlaku pada hari lelongan walaupun setelah anda mendaftar).
- Menang lelong tetapi dengan harga yang melebihi pasaran – jika tidak membuat kajian tentang harga pasaran rumah.
- Pinjaman perumahan tidak diluluskan.
- Unit dalam keadaan kerosakan yang teruk.
- Tunggakan utiliti oleh pemilik lama yang tinggi.
- Pemilik lama enggan keluar dari rumah.
RUMAH LELONG LPPSA
Beli Rumah Lelong Guna LPPSA
LPPSA tidak akan memberi pinjaman kepada penjawat awam yang membeli rumah lelong dari lelongan awam. LPPSA hanya akan mempertimbangkan permohonan pinjaman dari Lelongan yang dibuat oleh pihak LPPSA sendiri.
JENIS LELONGAN RUMAH ATAU HARTANAH YANG DIRAMPAS
Lelongan Perjanjian Pinjaman selaku Surat Ikatan Penyerahan Hak atau Loan Agreement Cum Assignment (LACA)
Lelongan jenis ini dilakukan bagi hartanah tanpa gelaran individu atau strata dan biasanya, deposit pembidaan sebanyak 5% diperlukan. Lelongan ini akan dilakukan oleh pihak bank dan biasanya dikenali sebagai rumah lelong bank.
Lelongan bukan LACA
Bagi lelongan jenis ini, ia dilakukan oleh Mahkamah Tinggi untuk hartanah yang mempunyai hak individu atau hak milik strata. Deposit pembidaan yang diperlukan pula adalah 10% daripada harga rizab.
CARA BELI RUMAH LELONG BANK
Bagi anda yang berminat untuk beli rumah lelong, anda mempunyai dua pilihan bagi membeli rumah lelong ini.
Lelongan Fizikal
Bagi lelongan secara fizikal ini, anda perlu menghadiri sendiri sesi bidaan atau lelongan ini secara fizikal. Anda boleh membida sendiri atau mewakilkan ejen lelong pada sesi bidaan tersebut.
CARA BELI RUMAH LELONG ONLINE
Lelongan Online
Anda juga boleh membida rumah lelong secara online menerusi beberapa laman web dan syarikat yang menawarkan khidmat lelongan secara online iaitu:
- e-Lelong Mahkamah Tinggi Malaysia
- auctions.com.my
- Ng Chan Mau
PENGALAMAN BELI RUMAH LELONG
Setelah membuat penilaian berkenaan pasaran lelong ini, berikut adalah pengalaman bagi membeli rumah lelong.
Semak Kelayakan Pinjaman
Semak kelayakan anda terlebih dahulu di mana-mana bank berdekatan bagi mengetahui jumlah pembiayaan yang mampu diluluskan oleh pihak bank.
Dengan mengetahui amaun pembiayaan yang mampu diluluskan oleh bank, anda tidak akan membayar sesuatu yang anda tidak mampu.
Jika anda membuat keputusan tergesa-gesa dan tidak menyemak kelayakan pinjaman terlebih dahulu, anda boleh kerugian deposit begitu sahaja. Ini kerana walaupun anda telah memenangi lelongan, tetapi pinjaman tidak diluluskan bank, deposit anda tidak akan dipulangkan.
Membuat Kajian Tentang Lokasi
Kaji terlebih dahulu tentang kedudukan lokasi rumah yang ingin dibida. Tidak kira bagi kediaman sendiri atau bagi tujuan pelaburan, kajian berkenaan kemudahan dan fasiliti berkenaan perlu dilakukan.
Antara aspek yang perlu dibuat kajian ialah lokasi, kemudahan, pengangkutan awam, dan juga aspek keselamatan. Berdasarkan kajian tentang aspek yang dinyatakan ini, bandingkan dengan matlamat sebenar anda ingin memiliki hartanah lelong ini.
Sebagai contoh, bagi mereka yang ingin menjadikan rumah lelong ini sebagai kediaman yang dekat dengan tempat kerja, aspek lokasi dan keselamatan boleh menjadi faktor utama anda membuat keputusan yang sebaiknya.
Contoh yang lain pula, bagi tuan rumah yang ingin menjadikan rumah lelong ini sebagai rumah yang akan disewakan kepada pelajar, kemudahan pengangkutan seperti LRT dan MRT dan lokasi yang berhampiran dengan institusi pendidikan pasti menjadi faktor utama pertimbangan.
Semakan Harga Pasaran Rumah Yang Ingin Dibeli
Bagi memastikan anda tidak melebihi bajet dan membuat pembelian yang merugikan, lakukan kajian tentang harga pasaran rumah yang ingin dibeli – anda boleh menggunakan brickz.my (satu-satunya portal hartanah di Malaysia yang menyediakan maklumat nilai jualan terkini bagi hartanah sub-sale).
Selain itu, buat pengiraan yang teliti dan tetapkan harga maksimum yang anda ingin bida di mana anda masih boleh mendapatkan keuntungan. Tidak ada gunanya sekiranya anda memenangi bidaan dengan harga yang terlampau mahal dari harga pasaran, yang akhirnya akan merugikan diri sendiri.
Lakukan Site Visit
Bagi mendapatkan rujukan tentang hartanah yang ingin dibeli, dapatkan salinan POS (Proclamation of Sale) dan COS (Condition of Sale). Kedua-dua dokumen ini akan menerangkan tentang pengisytiharan hartanah tersebut dan keadaan hartanah yang bakal dijual.
Bagi membuat kajian lebih lanjut mengenai unit yang ingin dibeli dan membuat semakan awal dengan perkara berikut:
- Lihat kawasan persekitaran unit
- Unit terdapat di persekitaran unit
- Semakan bil penyelenggaraan dan juga utiliti yang tertunggak
Sediakan Deposit dan juga Wang Tunai Tambahan
Terdapat beberapa perkara yang wajib dibawa sebelum menyertai lelongan pada hari tersebut iaitu:
- Salinan Kad Pengenalan.
- 10% deposit dari harga rumah yang ingin dibeli (boleh gunakan bank draft atau banker cheque di bank pilihan (rujuk POS).
- Wang tambahan untuk tambah nilai 10% deposit yang diberi di kaunter pendaftaran jika tidak mencukupi sahaja).
Dokumen tambahan lain juga perlu disediakan jika perlu. Pastikan dokumen yang diperlukan ini disediakan dengan lengkap.
TIPS SEMASA BELI RUMAH LELONG
Datang awal pada Hari Bidaan
Bagi memastikan proses ini berjalan lebih lancar, datang awal pada hari bidaan. Jika terlewat, proses bidaan mungkin sudah bermula dan anda akan terlepas peluang yang selama ini telah dirancang dengan teliti. Apabila anda datang lebih awal, ia akan memudahkan urusan penyerahan dokumen bidaan dan pendaftaran serta anda juga akan lebih tenang.
Bagi memastikan proses ini berjalan lancar, lakukan persediaan awal dokumen yang diperlukan dengan lengkap sebelum melangkah ke dewan lelongan ini.
Penyerahan Kad Pembida
Kad pembida akan digunakan dalam proses lelongan ini. Hanya individu yang mempunyai kad pembida akan dibenarkan masuk ke dalam lelongan ini.
Naikkan kad pembida ini jika anda mahu melakukan bidaan terhadap unit. Unit akan terjual kepada pembida yang tertinggi di dewan lelongan dan harga yang tertinggi akan diulang sebanyak 3 kali sebelum tukul diketuk.
TIPS SELEPAS BELI RUMAH LELONG
Jika anda memenangi lelongan:
- Tandatangani borang COS (Contract of Sale) dan membayar perbezaan jumlah sekiranya berlaku peningkatan harga lelong.
- Anda akan diberi masa oleh pihak pelelong 90-120 hari untuk menjelaskan baki 90% daripada harga rumah.
- Rujuk POS lelongan.
- Buat permohonan pembiayaan rumah dari bank dengan kadar segera.
Jika kalah lelongan, jangan bimbang kerana deposit akan dipulangkan. Anda boleh cuba nasib di unit yang lain pula.
Sebenarnya, membeli rumah lelong merupakan suatu pengalaman yang menarik dari segi emosi dan juga kewangan. Apa yang penting, pastikan anda mempunyai ilmu yang kukuh sebelum menceburi bidang ini. Semoga artikel ini dapat membantu anda memudahkan urusan pembelian dan kami ucapkan semoga berjaya!