NIAT PUASA HARI ASYURA : AMALAN HARI ASYURA 10 MUHARRAM 2021
Pada hari Selasa 2021 kita akan menyambut 1 Muharram. Umat Islam juga sering menantikan kedatangan bulan Muharram kerana adanya Hari ‘Asyura yang mulia. Besar ganjarannya bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut. Menurut hadis Rasulullah s.a.w, bulan Muharram juga termasuk di antara bulan-bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah, dan Rejab.
Rasululllah s.a.w bersabda :
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Sebagai bulan haram, bulan Muharam juga dimuliakan dan sangat dihormati. Sepanjang bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang. Bulan-bulan ini juga mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding bulan lain.
Berikut dikongsikan tarikh hari Asyura di Malaysia bagi tahun 2021, kelebihan puasa sunat Hari Asyura, Hari Tasu’a dan cara lafaz niat mulai 9, 10 dan 11 Muharam.
Baca juga : CARA BUAT TEMUJANJI PEJABAT POS UNTUK HIDUPKAN LESEN DAN ROADTAX
Bulan Muharam Bulan Yang Digalakkan Untuk Berpuasa
Berdasarkan hadis dari Rasulullah s.a.w, bulan Muharram juga mempunyai keistimewaannya sendiri kerana digelar sebagai bulan Allah.
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan keistimewaan bulan ini sebagai bulan yang afdhal untuk berpuasa.
Seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang bulan apakah yang baginda perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (741)
Menerusi hadis ini, jelaslah keistimewaan bulan Muharram sebagai bulan yang terbaik bagi umat Islam untuk berpuasa sunat. Bagi yang sihat dan berkemampuan, berpuasalah sebanyak mungkin pada bulan ini bagi mengejar keampunan dan keredhaan Allah.
Tarikh Hari Asyura 2021 Di Malaysia
Bagi tahun 2021 ini, 1 Muharam jatuh pada 10 Ogos 2021. Oleh itu, Hari Asyura jatuh pada 19 Ogos. Manakala Hari Tasu’a jatuh pada 18 Ogos dan 20 Ogos 2021.
Kelebihan Puasa Sunat Hari Asyura
Bulan Muharram juga cukup sinonim dengan Hari ‘Asyura. Ramai yang berlumba-lumba berpuasa pada Hari ‘Asyura kerana fadhilatnya yang cukup besar.
Walaupun kita digalakkan untuk mengisi bulan Muharram dengan puasa sunat sebanyak mungkin, terdapat hadis khusus yang menceritakan fadhilat berpuasa pada Hari ‘Asyura yang jatuh pada 10 Muharram.
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Riwayat Ibn Majah (1738)
Anjuran Berpuasa Sunat Pada 9, 10 dan 11 Muharram
Dalam kita bersemangat untuk berpuasa sunat pada Hari ‘Asyura, kita juga sering diingatkan untuk turut berpuasa pada Hari Tasu’a iaitu hari sebelum (9 Muharam) atau hari selepasnya (11 Muharam).
Menurut perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, amalan berpuasa pada hari sebelum atau selepas 10 Muharam adalah bertujuan bagi menyelisihi amalan penganut agama Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam sahaja.
Perkara ini turut dijelaskan dalam hadis Nabi s.a.w. Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda :
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Menerusi hadis ini, jelaslah bahawa puasa sunat pada Hari ‘Asyura perlu diiringi dengan puasa sunat pada 9 atau 11 Muharram bagi menyelisihi amalan Kaum Yahudi.
Cara Niat Puasa Sunat Hari Tasu’a dan Hari ‘Asyura
Disebakan puasa Hari Tasu’a dan Hari Asyura hukumnya sunat, maka niat puasanya boleh dilafazkan bermula malam hari sehingga sebelum waktu matahari tergelincir iaitu sebelum masuk waktu Zuhur.
Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a
نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
Bacaan Rumi : Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnatal Lillahita’ala
Maksud : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana Allah Ta’ala”
Lafaz Niat Puasa Asyura
نَوَيْتُ صَوْم عشرسُنَّة لله تَعَالى
Bacaan Rumi : Nawaitu Sauma Asyura Sunnatal Lillahita’ala
Maksud : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala”
Dengan kesempatan kita banyak menghabiskan banyak masa di rumah ketika ini, marilah kita hiasi bulan Muharram yang akan tiba dengan memperbanyakkan puasa sunat, amal ibadah dan kebajikan.
Semoga kesungguhan kita dalam menghidupkan ibadah sunnah serta memperbanyakkan amal soleh pada bulan Muharram yang akan datang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah.
Sumber artikel :
- IRSYAD AL-FATWA KE-135: ADAKAH PUASA 10 MUHARRAM PERLU DISERTAI DENGAN HARI SELEPASNYA?https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1225-irsyad-al-fatwa-ke-135-adakah-puasa-10-muharram-perlu-disertai-dengan-hari-selepasnya
- Harian Post